Ahad, 13 Disember 2009

PENGGUNAAN KAD KREDIT

Akhir-akhir ini penggunaan kad kredit oleh orang ramai di negara kita begitu ketara sekali. Penggunaannya yang berleluasa telah memberikan pelbagai kesan kepada masyarakat. Bincangkan.

Arus kemajuan dunia mempengaruhi cara urusniaga. Kad kredit mengambil alih peranan wang tunai.

Kesan Baik:
1. Memudahkan urusniaga
- tidak perlu membawa wang tunai yang banyak
- mengelakkan kejadian pukau, ragut atau rompakan
2. Berguna semasa kecemasan
- tidak perlu bergegas ke bank untuk mengeluarkan wang
- penyelamat dalam situasi genting

Kesan Buruk:
1. Menjerat pengguna yang boros
- cenderung berbelanja melebihi keupayaan
- hutang bertambah kerana kadar faedah yang tinggi dan terus meningkat
2. Membawa kesusahan
- kad kredit hilang atau disalahgunakan
- terpaksa membayar lebih banyak kepada institusi kewangan.

1. KAD KREDIT MENDATANGKAN KEBAIKAN JIKA DIGUNAKAN DENGAN BETUL

2. PERLU PANDAI BERHEMAH DAN BERMUHASABAH DIRI KETIKA BERBELANJA


====================

Minda Pengarang: Sindiket pemalsuan kad kredit mesti segera dibendung


TIGA perkara sering dikaitkan dengan rakyat Malaysia di luar negara sejak sekian lama iaitu pengedaran dadah, pemerdagangan manusia dan sindiket kad kredit palsu. Namun, negara cuma dikaitkan sebagai transit untuk aktiviti pemerdagangan manusia manakala pengedaran dadah antarabangsa pula lebih banyak menjurus kepada penggunaan warga Malaysia terutama wanita yang dijadikan orang tengah hingga sebilangan mereka terperangkap dan akhirnya merengkuk dalam penjara di beberapa negara. Namun, laporan terkini menyebut kegiatan pemalsuan dan penipuan kad kredit membabitkan rakyat kita, sudah menular di banyak negara seluruh dunia, dengan Eropah menjadi sasaran terbaru lokasi kegiatan itu. Penularannya dikesan berdasarkan kes yang dimaklumkan polis negara asing kepada Wisma Putra dan Interpol Bukit Aman. Rakyat Malaysia yang terbabit dalam kegiatan itu kebelakangan ini dikatakan menjadikan rantau Eropah sasaran baru selepas kegiatan itu banyak dipatahkan di negara sebelah Asia. Malah bagi mengabui mata pihak berkuasa di Eropah, ada antara ahli sindiket terbabit dikatakan menggunakan pasport palsu dan menyamar sebagai rakyat negara jiran untuk memasuki negara rantau berkenaan sebelum berbelanja mewah menggunakan kad kredit palsu atau diklon. Sesuatu harus dilakukan di dalam negara untuk mengekang penularan aktiviti itu bagi mengelak nama baik Malaysia terjejas. Bayangkan, kegiatan memalsukan kad kredit adalah punca sebahagian besar daripada 500 rakyat Malaysia dipenjarakan di Thailand ketika ini.

Kegiatan pemalsuan kad kredit itu didalangi sindiket yang membolehkan ada antara individu terbabit memiliki sehingga 10 kad kredit dan berbelanja di Thailand. Mereka membawa balik barangan berkenaan ke Malaysia untuk dijual. Oleh itu, kita mengalu-alukan tindakan terbaru kerajaan untuk melancarkan fasa baru memerangi kegiatan sindiket pemalsuan kad kredit dalam negara dan yang membabitkan rakyat Malaysia di seberang laut. Kelmarin, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, berkata pihaknya dalam peringkat mengumpulkan maklumat terbaru mengenai kegiatan itu sebelum menyusun tindakan bersepadu membabitkan kerjasama semua kementerian dan agensi berkaitan. Usaha bersepadu dan serius perlu dilakukan bukan saja oleh Kementerian Dalam Negeri, bahkan Kementerian Kewangan, Bank Negara, Wisma Putra, Jabatan Imigresen serta institusi pengeluar kad kredit dan bank. Akaun rakyat Malaysia yang terbukti terbabit dalam pemalsuan kad kredit harus dibekukan. Jabatan Imigresen pula harus menyenaraikan nama mereka yang terbabit itu untuk diawasi di pintu masuk atau keluar dari negara ini. Selagi kita tidak bertegas untuk melakukan sesuatu tindakan drastik, masalah ini akan terus menular. Kita tidak mahu nanti Malaysia dituduh sebagai sarang pemalsuan atau klon kad kredit.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan