Ahad, 13 Disember 2009

IKLIM GLOBAL

Kesepakatan pemimpin dunia tangani iklim global

Oleh Mustapa Omar


Pelepasan gas karbon dioksida negara maju ancam alam sekitar


ETIKA bencana alam terus melanda, khususnya di negara dunia ketiga, hampir 15,000 anggota delegasi kerajaan, pemerhati bebas dan wakil pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dari 193 negara kini berhimpun di Bella Center, Copenhagen bagi berbincang dan merangka pelan tindakan untuk menangani kesan perubahan iklim.


Selain Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama yang sudah menyatakan persetujuan menghadiri Persidangan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai Perubahan Iklim (COP15) itu pada saat-saat akhir, lebih 100 lagi pemimpin dunia sudah mula tiba untuk bersama sepanjang pertemuan dua minggu itu � satu petanda baik ke arah mencapai kesepakatan dalam menangani isu yang semakin mengancam dunia.


Kehadiran pemimpin penting seperti Perdana Menteri India, Manmohan Singh: Perdana Menteri Britain, Gordon Brown: Canselor Jerman, Angela Merkel; Presiden Brazil, Luiz Inacio Lula da Silva dan Obama sendiri jelas menunjukkan komitmen mereka terhadap usaha berkenaan.


Seperti kata Duta Denmark ke Washington, Friis Petersen, pemimpin besar seperti mereka hanya akan hadir di Copenhagen kerana mereka tahu ia akan membawa manfaat kepada kerjaya politik mereka, sebaliknya mereka tidak akan datang jika sekadar ingin berkongsi kegagalan.


Kita percaya, cuaca dingin ibu kota Denmark yang kini pada paras 0 darjah Celsius, tidak akan mengurangkan kehangatan debat berhubung pelbagai isu, termasuk mendapatkan persetujuan mengenai komitmen negara kaya dan negara membangun berhubung had pelepasan gas karbon dioksida (CO2), selain komitmen bantuan dana di kalangan negara maju terhadap negara membangun dalam mengurangkan pembebasan CO2 itu.


Namun bagi Malaysia, delegasi kita ke persidangan berkenaan boleh dianggap kecil, mungkin kerana kita tidak menganggap isu terbabit begitu penting disebabkan kita bukan di kalangan negara mangsa seperti Bangladesh, Filipina dan Indonesia atau kita juga bukan di kalangan negara yang menyumbang kepada pemanasan global seperti India.


Apapun, persoalannya ialah penting sangatkah persidangan ini? Jawapannya ya dan tidak. Ya kerana terlalu banyak kes yang cukup kuat dan mendesak supaya tindakan tegas perlu diambil segera, manakala tidak pula kerana jika sekadar perjanjian dan persetujuan saja, ia masih terlalu jauh daripada mencukupi untuk menangani masalah besar ini.


Menangani isu perubahan iklim adalah sesuatu yang amat sukar dan lebih penting lagi ialah setiap matlamat yang dicapai nanti perlulah benar-benar efektif serta berkesan dalam mengatasi masalah berkenaan. Oleh itu, sebarang kesilapan atau kelewatan hanya akan memburukkan lagi keadaan.


Sebenarnya, isu perubahan iklim membabitkan semua negara sama ada kecil atau besar, di Barat atau Timur dan kaya atau miskin. Malah, ia turut mendominasi serta mencuri tumpuan pemimpin yang menghadiri Mesyuarat Ketua-Ketua Kerajaan Komanwel (CHOGM 2009) di Trinidad & Tobago, baru-baru ini.


Kepentingannya itu terserlah apabila pada akhir mesyuarat berkenaan, Deklarasi Port-of-Spain Mengenai Perubahan Iklim yang dikeluarkan menuntut kesungguhan masyarakat dunia menangani isu pemanasan global secara mapan.


Pemimpin CHOGM melihat COP15 perlu mencapai persetujuan sebulat suara untuk merealisasikan semua keputusan menjadi perjanjian yang mengikat semua negara mematuhinya bagi mengelak dikenakan tindakan oleh badan antarabangsa itu, bukan ikatan politik semata-mata.


Yang jelas, tumpuan di Copenhagen pastinya berkisar kepada beberapa isu utama seperti faktor yang menyebabkan peningkatan suhu bumi atau teori rumah kaca, komitmen yang diperlukan bagi melaksanakan pembangunan ekonomi karbon neutral dan mampukah persidangan ini mendapatkan persetujuan bersama mengenai tahap karbon yang perlu dikurangkan menjelang 2020.


Selepas dua persidangan dan deklarasi dicapai iaitu pertama di Rio de Janeiro, Brazil pada 1992 dan di Kyoto, Jepun pada 1997 yang melahirkan Protokol Kyoto, kita sebenarnya masih begitu kabur dari segi pencapaian dan belum ada perkembangan yang benar-benar positif berhubung usaha menangani isu perubahan iklim ini.


Protokol Kyoto dimeterai untuk mengawal pelepasan gas rumah kaca dengan komitmen pertama bermula 2008 sehingga 2012, tetapi malangnya ia dianggap gagal mendapatkan sokongan global dengan beberapa negara utama pengeluar karbon seperti China, Amerika Syarikat, India, Australia dan Britain tidak bersetuju menandatangani. Tanpa penyertaan negara terbabit secara struktural, pencapaian Protokol Kyoto jadi tidak menyerlah.


Berdasarkan hakikat ini, warga dunia sememangnya amat berharap persidangan di Copenhagen yang bermula semalam akan menghasilkan sesuatu yang jitu dalam mendepani isu perubahan iklim. Satu kesepakatan baru perlu dicapai bagi menggantikan Protokol Kyoto.


Walaupun ada pihak masih sangsi dengan kemampuan persidangan kali ini, kita percaya dengan komitmen diberikan pemimpin dunia, khususnya Manmohan Singh dan Obama, kita yakin persidangan kali ini menghasilkan kesepakatan yang bukan saja penting malah berkesan dalam menangani perubahan iklim.


Penulis ialah adalah Pengarang Kumpulan Harian Metro/Metro Ahad yang menghadiri Forum Editor Global Mengenai Perubahan Iklim di Copenhagen, Denmark, bulan lalu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan