Selasa, 15 Disember 2009

WANITA DAN MEDIA

WANITA DALAM MEDIA: Apresiasi atau Eksploitasi?
 
 
 
Wanita di Malaysia sungguh bertuah kerana pindaan Perkara 8(2) Perlembagaan Persekutuan pada tahun ini telah meletakkan hak yang sama rata untuk semua tanpa mengira jantina. Pengiktirafan ini menjadi bukti kejayaan wanita di negara ini untuk mencapai kesaksamaan gender.
Hal ini bermakna, ruang dan peluang yang lebih terbuka dan selesa tersedia untuk wanita mengorak langkah mencapai kejayaan. Namun, perjuangan mereka masih belum berakhir kerana masih banyak cabaran yang harus ditangani untuk menempatkan diri dalam sfera kehidupan yang lebih selesa dan bermakna.
Secara keseluruhannya, kedudukan wanita di negara ini lebih baik berbanding saudara mereka di negara membangun lain, khususnya di Asia Selatan dan Afrika. Wanita Malaysia telah mencapai kejayaan yang membanggakan dengan jumlah mereka yang berjaya dalam kerjaya dan pendidikan semakin meningkat. Semakin ramai wanita yang menjawat jawatan tinggi, sama ada di sektor awam mahupun swasta. Trend kemasukan pelajar ke universiti tempatan sejak 1995 menunjukkan peningkatan pelajar perempuan berbanding lelaki. Malah, pada tahun ini, jumlah pelajar perempuan yang mendaftar di universiti tempatan adalah sebanyak 65% berbanding lelaki hanya 35%.
Jika demikian hebatnya kejayaan wanita kita, bagaimana agaknya mereka dipaparkan dalam media massa tempatan? Mungkin ada yang bertanya apakah pentingnya soal pemaparan wanita ini untuk dibahaskan? Rasionalnya, rutin kehidupan kita sedikit-sebanyak berkisar kepada aktiviti yang melibatkan penggunaan produk media sama ada menonton televisyen, membaca akhbar, atau mendengar radio. Pergantungan dan pengguanaan produk media bukan sekadar hubungan yang pasif antara khalayak dan penyalur mesej kerana media massa membawa bersama nilai-nilai sosial.
Media massa telah menjadi institusi yang penting dalam mencorakkan pemikiran masyarakat. Ia berupaya membentuk tanggapan khalayak melalui pemaparan imej yang disalurkan olehnya secara berulang-ulang. Proses ini berlangsung secara halus dan hampir tidak disedari oleh khalayak. Melalui kekerapan dan teknik kreatif yang diadaun secara halus, maka tidak menghairankan jika khalayak tidak menyedari bahawa persepsi mereka terhadap sesuatu fenomena sebenarnya telah dibentuk. "Kuasa" inilah yang jika salah digunakan akan memberi kesan yang negatif kepada khalayak.
Oleh itu, pemaparan wanita merupakan isu yang signifikan. Pejuang wanita dan pengkritik media khuatir dengan implikasi pemaparan wanita yang menyeleweng daripada realiti kerana ia menafikan status, peranan dan sumbangan wanita terhadap pembangunan negara. Lebih daripada itu, ia membentuk persepsi yang salah terhadap wanita.
Gaye Tuchman, sarjana komunikasi Amerika, menyifatkan media telah melakukan "symbolic annihilation", yakni dengan makna lain, strategi media adalah mempromosikan stereotaip atau mengurangkan pemaparan wanita. Berdasarkan kajiannya, wanita sejati menurut media ialah seorang yang "pasif dan tidak mampu berdikari; nasib dan kegembiraannya bergantung kepada lelaki semata, bukannya menjadi tenaga kerja."
Apakah stereotaip? Stereotaip secara mudah bermakna idea dan andaian umum yang menjadi simbol yang dipermudahkan, diumumkan, dan disesuaikan terhadap sesuatu kelompok manusia. Ia merupakan pengkelasan sosial yang tipikal dan tidak mengandungi ciri-ciri yang baru, misalnya "hero filem Hollywood mesti lelaki berkulit putih."
Stereotaip sukar dielakkan dalam media; ia sudah menjadi praktis dalam pengeluaran produk media. Misalnya, industri filem Hollywood dikatakan berkembang berasaskan naratif yang stereotaip untuk menarik perhatian kelompok awal khalayak Amerika yang buta huruf dan berbilang kaum.
Bagaimana agaknya kandungan media tempatan? Kajian-kajian yang banyak dilakukan oleh para sarjana komunikasi tempatan mendapati media negara ini masih mengekalkan imej wanita yang stereotaip. Periklanan misalnya sarat dengan imej stereotaip wanita. Wanita masih digambarkan sebagai suri rumah, mudah dipengaruhi, seksi, emosional, dan terikat dengan ciri-ciri tradisional seperti suka memasak dan melaram. Imej wanita kerap digunakan untuk melariskan barangan dan perkhidmatan. Ia boleh diterima jika barangan berkaitan wanita menggunakan model wanita. Bagaimana pula dengan iklan yang tidak berkenaan sepert tayar kereta?
Majalah-majalah wanita kita pula sering memaparkan rutin hidup wanita yang terikat dengan dunia fesyen, kecantikan, masakan, dan petua rumahtangga. Ia juga berfungsi sebagai agen promosi gaya hidup terkini dengan peruntukan halaman fesyen yang lebih banyak daripada editorial. Ruangan fesyen telah menjadi hukuman mandatori untuk para editor menyiarkannya secara tetap. Dalam kajian oleh Fauziah Ramly untuk bengkel anjuran Asia-Pacific Development Centre pada 1992 terhadap sampel majalah Her World, didapati 35% halaman diperuntukkan untuk fesyen. Jumlah itu melebihi peruntukan halaman artikel tentang pembangunan luar bandar, alam sekitar, kesihatan, dan kerjaya yang ditulis dengan baik dan pastinya lebih bermanfaat.
Drama dan filem tempatan pula tidak banyak mengangkat martabat wanita dengan peranan yang aktif dan boleh dicontohi. Menurut kajian Kiranjit Kaur dan Rosni Jaafar dari Universiti Teknologi MARA terhadap drama televisyen tempatan pada 1989, watak wanita digambarkan secara pasif dan tidak mempunyai peranan yang penting dalam masyarakat. Wanita digambarkan sebagai terikat dengan tugasan rumah tangga, mengerjakan ladang dan menjalankan tugas di pejabat. Watak wanitanya pula tampil cantik, bergantung kepada orang lain (suami/bapa), setia, sabar, pasrah ditindas, dan hidup menderita. Walaupun kajian ini telah lama dilakukan, namun realiti semasa masih tidak banyak berubah. Kita pasti tidak lupa kontroversi yang timbul ekoran tayangan filem "Perempuan, Isteri dan…" arahan U-Wei Saari yang memparkan watak isteri curang yang hidup bertunjangkan nafsu.
Bagaimana pula dengan liputan akhbar terhadap wanita? Kajian Universiti Kebangsaan Malaysia pada 1994 mendapati sebanyak 37.5% liputan berita tentang wanita bersifat negatif, bias, dan seksi. Keadaan ini tidak mencerminkan realiti bahawa 43% wartawan Malaysia pada tahun kajian adalah wanita tetapi hanya 17% kandungan media difokuskan kepada wanita. Berita tentang wanita bukanlah prioriti utama akhbar dan jarang diletakkan di muka depan akhbar. Hal ini mungkin kerana setiap akhbar mempunyai halaman wanitanya sendiri. Namun tidaklah secara halus, ia bukan hanya bermaksud berita tentang wanita tidak penting dan hanya sesuai diletakkan di ruangan khas yang terhad, tetapi lebih daripada itu, wanita dibiarkan dalam alam rumah tangga semata-mata?
Perdebatan mengenai imej wanita stereotaip yang muncul dalam media kerap menyarankan peluang dibuka seluas mungkin supaya lebih ramai wanita menjadi pembuat keputusan dalam organisasi media. Sehingga kini, bilangan wanita yang memegang jawatan utama dalam organisasi media negara amat rendah. Kalau adapun, mereka tidak terlibat secara mutlak untuk membuat keputusan. Persoalannya, adakah mungkin "nature" dunia kewartawanan yang didominasi oleh lelaki telah membiarkan wartawan wanita membuat liputan soft news semata-mata?
Kita tidak menafikan bahawa media tempatan menunjukkan perubahan yang menjanjikan pemaparan yang lebih positif, tetapi ia berkembang pada kadar yang perlahan. Lebih banyak inisiatif yang perlu dikerah daripada pihak media untul menyerlahkan wajah wanita Malaysia yang lebih mandiri, positif, berpandangan luas, mempunyai kerjaya, dan kehidupan berkeluarga yang mantap. Wartawan wanita sebenarnya ramai yang bersedia menyumbang. Sejarah membuktikan sendiri mereka telah banyak berjasa dalam mengupayakan wanita negara ini sejak merdeka sehingga kini. Misalnya, usaha bersepadu kumpulan wartawan wanita dan pertubuhan wanita dalam kempen media yang agresif pada 1996 telah membawa penguatkuasaan Akta Keganasan Rumahtangga pada tahun yang sama selepas usaha selama 10 tahun diperjuangkan oleh pertubuhan wanita.
Pihak media harus mengangkat imej wanita berilmu dan berhenti memaparkan fantasi yang tidak mungkin dapat dibeli. Perhatian kepada isu-isu yang mampu meningkatkan kualiti diri dan minda harus diutamakan. Pengamal media perlu mempunyai misi yang kukuh dan berterusan untuk mengangkat martabat wanita dan mengupayakan wanita kita seiring realiti kejayaan yang telah diraih.




Dewan Masyarakat Disember 2001 Ms 30 - 31.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan