Selasa, 15 Disember 2009

CYBER CAFE

Cyber Café

Cyber Café merupakan fenomena termasyhur di akhir abad ke-20. Hampir setiap kawasan perniagaan kan mempunyai sebuah Cyber Café. Ini adalah kerana sekiranya anda tidak mempunyai komputer atau akaun Internet sendiri, Cyber Café merupakan tempatyang paling mudah dan murah untuk mendapatkan akses ke Internet. Setelah mendaftarkan diri di Cyber Café (ini adalah peraturan yang ditetapkan oleh pihak berkuasa), anda boleh merayau di Internet sepuas hati. Anda cuma dikenakan bayaran 'akses' mengikut jumlah masa yang diambil oleh anda untuk merayau. Bayaran yang lazim dikenakan adalah sebanyak RM4 - RM6 sejam. Sekiranya anda ingin merayau dengan penuh gaya, kunjungilah Cyber Café milik TIME Dot Com di Bangsar Baru. I a dipenuhi dengan komputer Apple Macintosh G4 Cube dengan skrin monitor rata (flat screen) yang canggih dan terbaru. Jangan segan untuk bertanya sekiranya anda tidak biasa dengan sistem operasi komputer Apple. Cuma satu pesanan penulis, sekiranya anda pergi ke Cyber Café, bersedia untuk 'berebut' dengan pelajar tertier (peringkat kolej atau universiti) yang selalunya menjadi penghuni tetap di sini. Di mana ada kolej, di situ pasti ada Cyber Café.

Akses di Pejabat

Sekarang, kebanyakan majikan sedar betapa pentingnya Internet. Ia merupakan sumber penyelidikan yang terpantas dan mudah. Semakin banyak majikan yang membenarkan pekerja-pekerja mereka mengakses Internet daripada komputer di pejabat. Sekiranya pejabat anda menggunakan talian ISDN atau 'Leased Line' dan dirangkaikan dengan Rangkaian Kawasan Setempat (Local Area Network atau LAN) yang bersambung ke Internet, selalunya anda boleh terus mengakses Internet dengan melancarkan perisian penggunaan (launching application) Internet Explorer (IE) atau Netscape Navigator (NN). Tetapi pastikan yang anda mematuhi segala peraturan yang ditetapkan oleh majikan anda. Anda boleh ketagih Internet jika anda tidak berhati-hati. Ataupun, sekiranya anda mempunyai talian terus dail di pejabat dan komputer anda mempunya sebuah modem, anda boleh dail terus(dial-up) ke Internet.
Akses di Rumah
Sekiranya anda mempunyai komputer bermodem dan ingin dail terus ke Internet, anda perlu membuka akaun peribadi dari mana-mana Pembekal Khidmat Internet (Internet Service Provider atau ISP) di Malaysia. Berbekalkan akaun peribadi, anda boleh melakukan pelbagai perkara di Internet. Antaranya adalah, menghantar surat elektronik atau e-mel, berbual di bilik bual (chatroom), menghantar mesej segera (instant messaging), melanggan kepada risalah (newsletter) atau kumpulan berita dan merayau di mana-mana laman web yang terdapat di Internet.


Pilihan ISP dan Cara untuk Membuka Akaun

ISP yang ada di Malaysia sekarang ini terdiri daripada Jaring, TMNet, Maxis.Net, TIMENet dan Celcom.net. Kategori pertama ISP adalah mereka yang memberi kemudahan secara langganan (subscription)(iaitu Jaring, TMNet, Nasionet). Para pengguna dikehendaki mendaftarkan diri di pejabat ISP tersebut atau melalui ejen-ejen yang dilantik.


Bagi mendapatkan perkhidmatan Jaring, pengguna boleh membuka akaun di pejabat Mimos di Taman Teknologi Malaysia; melalui JSP (Jaring Service Provider) seperti Utusan Asia Online (sebelum ini dikenali sebagai Utusan Jaring) dan Silicon Communications; ataupun melalui JSO (Jaring Service Operators) yang lazimnya terdiri dari kedai komputer.

Pengguna boleh juga membuka akaun terus di laman web HYPERLINK https://www.online.jaring.my https://www.online.jaring.my dengan menggunakan kupon JET ataupun kad kredit. JET boleh didapati di mana-mana kedai yang memaparkan lambangnya di hadapan kedai.

Untuk perkhidmatan TMNet yang dikendalikan oleh Telekom Malaysia Berhad, pengguna boleh membuka akaun di Kedai Telekom yang berhampiran.

Ketiga-tiga syarikat tersebut menyediakan perkhidmatan dengan mengenakan bayarn ke atas tiga perkara; iaitu yuran pendaftaran, yuran capaian (access fee) dan penggunaan telefon semasa bersambung ke Internet. Kadar bayaran telefon tersebut adalah lebih murah daripada panggilan tempatan biasa (lebih kurang 3 sen seminit) untuk menggalakkan penggunaan Internet. Selain daripada itu, Jaring dan TMNet telah menyediakan nombor khas untuk perkhidmatan ISP iaitu 1511 dan 1515. Umpamanya, jika anda menggunakan perkhidmatan Jaring, anda dail terus ke nombor 1511 (bukan melalui telefon, tapi menggunakan modem).

Kategori kedua pula adalah perkhidmatan ISP yang didapati melalui bayaran telefon sahaja (Maxis.net, TIMENet dan Celcom.net). Walau bagaimanapun, bayaran telefon seminit servis ini adalah lebih mahal berbanding dengan Jaring dan TMNet, iaitu pada kadar panggilan telefon tempatan biasa. Kelebihannya adalah ketiadaan yuran pendaftaran dan yuran capaian; tambahan pula pendaftaran boleh dibuat dalam talian (online) ( HYPERLINK http://www.maxis.net.my www.maxis.net.my, HYPERLINK http://www.time.net.my www.time.net.my atau HYPERLINK http://www.celcom.net.my www.celcom.net.my) dan akaun boleh diperolehi dengan serta-merta. Kelemahannya adalah talian sambungan lebih susah didapati berbanding dengan Jaring dan TMNet yang mempunyai infrastruktur yang lebih komprehensif.

Setelah membuka akaun di salah sebuah syarikat ISP, anda akan diberi alamat e-mel. Anda boleh membuat konfigurasi perisian penggunaan e-mel (configure e-mail application) anda supaya boleh menerima dan menghantar e-mel menerusi komputer anda. Jenis e-mel yang diberi oleh ISP merupakan akaun e-mel POP. Akaun jenis ini perlu digunakan bersama aplikasi seperti Outlook Express dan Eudora.

Apabila hendak mendapatkan capaian ke Internet untuk merayau atau menghantar e-mel, anda perlu sambungkan telefon ke belakang CPU anda di ruang (port) talian telefon ataupun pada modem luaran (external modem) dan gunakan perisian penggunaan terus-dail (dial-up application) yang terdapat di dalam komputer anda untuk mengakses Internet. Sebelum itu anda perlu membuat konfigurasi perisian penggunaan di dalam komputer anda dengan maklumat akaun peribadi anda yang diberi oleh ISP bagi setiap akaun peribadi yang dibuka. Ikut arahan perisian penggunaan anda yang selalunya mengandungi perisian bestari (wizard) untuk menyenangkan proses konfigurasi. Apabila selesai membuat konfigurasi, tekan butang sambungan dan tunggu sehinggalah anda diberitahu yang talian sudah didapati. Jangan terkejut sekiranya ada bunyi elektronik yang nyaring daripada komputer anda ala bunyi semasa menghantar faks. Itu hanyalah modem anda yang 'bekerja keras' menghubungi Internet bagi pihak anda.

E-mel

Cuba anda lakukan satu eksperimen. Lakukan tinjauan di mana-mana tempat awam dengan bertanya setiap orang di situ, apakah servis Internet yang paling banyak digunakannya? Penulis pasti, majoriti akan menjawab "e-mel". Teknologi canggih ini membolehkan anda bekomunikasi dengan sesiapa sahaja di serata dunia selagi anda ada alamat e-melnya. Mudah, murah dan pantas. Bayangkan, sekiranya dahulu (sekarang pun begitu) poskad yang anda hantar dari benua Eropah atau Amerika akan mengambil masa 2 hingga 3 minggu untuk sampai ke Malaysia. Sekarang, e-mel anda akan sampai dalam masa beberapa minit sahaja, bergantung kepada kepantasan dan tahap efisiensi khidmat ISP yang disediakan. Anda juga boleh menghantar dokumen dengan mengepilkan fail anda bersama e-mel. Tak perlu guna DHL atau Fed-Ex lagi.

E-mel Percuma

Sesetengah laman web menawarkan alamat e-mel secara percuma. Ini dipanggil e-mel berdasarkan web (web-based e-mail). Antaranya adalah HYPERLINK http://www.hotmail.com www.hotmail.com, HYPERLINK http://www.yahoo.com www.yahoo.com, HYPERLINK http://www.excite.com www.excite.com, HYPERLINK http://www.waumail.com www.waumail.com. Untuk membaca dan menghantar e-mel menerusi alamat ini, anda Cuma perlu pergi ke laman web tersebut menerusi IE atau NN dan log masuk untuk mengakses akaun anda.

Akaun ini boleh diakses dari sebarang tempat, sama ada komputer itu milik anda atau tidak. Ini adalah kerana anda langsung tidak perlu membuat sebarang konfigurasi pada komputer yang anda gunakan. Ynag penting, ada IE atau NN dan capaian ke Internet, agar laman web tersebut boleh dicapai.
Pendek kata, sekiranya anda tidak mempunyai komputer di rumah atau anda ingin memriksa e-mel akaun anda semasa berada di luar rumah tetapi anda tidak memiliki komputer pangku (lap top), anda boleh memeriksa akaun tersebut di mana-mana Cyber Café atau di rumah rakan anda. Percuma dan mudah. Tetapi awas, yang percuma hanyalah penggunaan akaun e-mel tersebut. Anda masih perlu membayar penggunaan talian telefon dan capaian ke Internet sekiranya di rumah (anda perlu mendaftar untuk mendapatkan akaun peribadi ISP, tanpa akaun peribadi, anda tidak boleh dail terus ke Internet); atau bayaran yang dikenakan oleh pihak Cyber Café.

E-mel Berbayar

Seperti yang diceritakan tadi, jika anda pemegang akaun peribadi dari sebuah ISP, anda akan diberi akaun e-mel POP. Untuk menggunakan akaun ini, anda memerlukan sebuah perisian penggunaan e-mel. Outlook Express adalah perisian penggunaan e-mel dari Microsoft yang disertakan bersama perisian penggunaan Windows 95 dan Windows 98 dengan percuma; jadi tidak hairanlah sekiranya ia merupakan perisian penggunaan e-mel yang paling banyak digunakan oleh dunia sejagat. Pesaing terbesar Outlook Express adalah Qualcomm Eudora. Versi ringkas perisian penggunaan tersebut boleh dimuat turun (download) dengan percuma melalui Internet manakala versi lengkapnya mengandungi ciri-ciri yang lebih canggih dan perlu dibeli dari mana-mana kedai peralatan komputer.

Di pejabat pula, Microsoft Outlook (yang juga mengandungi ciri-ciri kalendar dan buku alamat (address book) lazim digunakan kerana ia disertakan di dalam perisian bergabung Microsoft Office (bundled software). Sebuah lagi perisian penggunaan yang popular di pejabat adalah Lotus Notes, milik IBM. Ia merupakan perisian bergabung (groupware) dengan perisian penggunaan Wordperfect dll (seperti mana Microsoft Office bergabung dengan Microsoft Word dan Microsoft Outlook).

Konfigurasi utama yang perlu dibuat perisian penggunaan e-mel yang disebutkan adalah seperti berikut: nama pengguna (username) atau pengenalan log masuk e-mel (e-mail login ID) iaitu pendahulu alamat e-mel. Umpamanya, jikalau e-mel anda adalah HYPERLINK mailto:ahmad@pd.jaring.my abc@maxis.net.my, maka nama pengguna anda adalah 'abc'. Kemudian, POP server merupakan nama server yang mengendalikan e-mel yang diterima (incoming e-mail): lazimnya ia diisi sebagai pop.maxis.net.my. Pengguna Jaring ISP hendaklah berhati-hati kerana Jaring menamakan POP server mereka dengan nombor; pengguna Jaring yang baru lazimnya perlu mengisi relay29.jaring.my atau pop29.jaring.my. Bila diminta SMTP server pula (untuk e-mel yang hendak dihantar), isikan smtp.maxis.net.my. Tetapi pastikan yang anda isikan maklumat ISP yang betul. Jangan isikan 'maxis' sekiranya ISP anda adalah TIME.

Untuk menjaga kebersendirian (privacy) diri sendiri, jangan amalkan perbuatan mengisi atau menyimpan kata laluan (save password) dalam konfigurasi perisian penggunaan anda. Jika ruang tersebut dibiarkan kosong, anda hanya akan diminta mengisi kata laluan apabila hendak menghantar atau menerima e-mel. Ini amatlah digalakkan terutamanya bila komputer yang digunakan bukan milik anda tetapi dikongsi dengan orang lain. Sekiranya password anda disimpan sebegini, perisian penggunaan e-mel tersebut tidak akan memintanya lagi dan sesiapa sahaja boleh mengakses akaun e-mel anda. Beringatlah sebelum terlambat!

Wanita Ogos 2001, Ms 206-207



Tiada ulasan:

Catat Ulasan