Selasa, 15 Disember 2009

SAHAM AMANAH

SAHAM AMANAH  : MODAL TERHAD, PULANGAN LUMAYAN

'Menabunglah untuk masa depan anda.' Semua orang tahu ini tetapi masalahnya ramai menganggap remeh dan menangguhnya - aahh...esoklah, bulan depanlah, tahun depanlah, tak apalah tunggu umur 30, 40, akhirnya 55 tahun.

Mengharapkan duit simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) atau pencen sahaja tidak cukup untuk menyara hidup yang semakin hari semakin tinggi perbelanjaannya. Pelaburan bijak harus dibuat untuk memastikan wang penat lelah dilaburkan pada tempat yang membolehkan wang itu berkesan memberi pulangan tinggi.


Antara cara digemari ialah melabur dalam Bursa Saham Kuala Lumpur (BSKL). Bagi mereka yang tidak berpeluang melabur dalam BSKL, saham amanah (Unit Trust) cara paling sesuai untuk mendapatkan pulangan tinggi seperti bursa saham. Tetapi, kita haruslah faham mengenai saham amanah dahulu sebelum membelinya.


Sebenarnya saham amanah wujud sejak kurun ke-18 di kota London tetapi hanya terkenal di United Kingdom, Amerika Syarikat dan Australia pada tahun 70-an. Di Malaysia, saham amanah pertama diperkenal pada 1959, iaitu First Malaysian Fund, ia dilancarkan Malaysian Unit Trust Ltd iaitu syarikat saham amanah yang pertama di Malaysia.


Selepas itu beberapa jenis saham amanah dilancarkan tetapi tidak mendapat sambutan hinggalah pada 1981, Amanah Saham Nasional (ASN) diperkenalkan kerajaan untuk menolong meningkatkan penyertaan Bumiputera dalam sektor pelaburan. Sejak itu, saham amanah mula digemari kerana pulangannya memberangsangkan.Hingga 31 Disember, 1999, ada 95 dana diurus 32 buah syarikat membabitkan 47.3 billion unit bernilai lebih kurang RM33.7 billion.


Saham amanah dikhususkan untuk mereka yang bermodal terhad dan tidak ingin ketinggalan mendapat pulangan lumayan tetapi tidak mampu mengambil risiko tinggi dengan melabur terus dalam saham terbuka. Wang golongan ini dikumpul menjadi satu dana amat besar bernilai berbillion-billion ringgit. Kemudian dilaburkan dalam pelbagai sektor pelaburan seperti pasaran saham, sekuriti kerajaan, bon, simpanan tetap, hartanah dan pelaburan lain yang dibenarkan Suruhanjaya Sekuriti.


Saham amanah bukan untuk pelaburan jangka pendek seperti pasaran saham yang keuntungan diperolehi dalam masa sehari dua, seminggu ataupun sebulan. Ini kerana harganya ada pertalian dengan indeks komposit yang kerap turun dan naik. Saham amanah dicadangkan untuk jangka masa sederhana tiga hingga lima tahun atau jangka panjang lima hingga 20 tahun. Pada jangka panjang, dengan terkumpulnya bonus dan dividen setiap tahun, saham amanah terbukti memberi pulangan lebih baik daripada pasaran terbuka.


Lazimnya, wang ini hasil tabungan yang tidak akan dicuit kerana ia bermatlamat tertentu seperti simpanan hari tua atau untuk membeli rumah impian, melancong di luar negara atau kegunaan perbelanjaan anak melanjutkan pelajaran. Apabila melabur dalam saham amanah, pejam mata dan biarkan wang itu berganda setiap tahun daripada bonus dan dividen.

 

Antara Kebaikan Saham Amanah

 

Modal Minimum - Dengan serendah RM500 anda boleh menikmati pelbagai jenis pelaburan dan tambahan pelaburan pada bila-bila masa dengan serendah RM50.
Pengurus Dana Berpengalaman - Wang anda diurus oleh pasukan pengurus dana yang arif, berpengalaman dan dibekali kepakaran menjalankan penyelidikan meluas dalam mencari peluang pelaburan. Lazimnya, kita tiada kepakaran dan masa untuk mengawasi dan mengurus secara giat pelaburan yang pelbagai. Serahkan segala kebimbangan itu kepada pengurus yang pakar agar anda boleh tidur malam dengan lena.

 

Kepelbagaian - "Jangan letakkan semua telur di dalam satu raga." Dalam pasaran saham amanah, andai anda mempunyai satu jenis dana, anda sebenarnya menikmati faedah lebih kurang 30 - 100 jenis saham bernilai tinggi seperti Tenaga Nasional, Telekom, MAS, Sime Darby dan banyak lagi. Dengan satu syarikat pengurusan sahaja anda boleh mempelbagaikan jenis dana anda. Jika anda mempunyai tiga jenis dana, bermakna ada lebih 300 jenis saham! Jika 100 saham tidak menguntungkan, anda ada lagi 200 saham yang menguntungkan. Bukankah ini mengurangkan risiko dibandingkan orang perseorangan yang tidak berpeluang berbuat begitu?

 

Kecairan - Jika anda ingin menjual rumah kerana memerlukan wang segera, anda terpaksa menunggu begitu lama untuk mencari pembeli dan proses jualannya. Anda tidak boleh menjual sebahagian rumah seperti bilik tidur atau ruang tamu sahaja. Kalau memegang saham, anda juga terpaksa mencari broker dan menunggu pembeli membeli saham anda. Saham amanah mempunyai syarikat pengurusan yang sentiasa bersedia membeli semua atau sebahagian sahaja saham ingin dijual.

 

Mengatasi Kadar Inflasi - Anda harus sedar, RM10,000 sekarang berbeza dengan 10 tahun dahulu. Setiap tahun harga naik dan wang anda susut nilainya. Ahli ekonomi berkata kadar inflasi di antara 4 - 7 peratus pada dekad ini dan mungkin dekad mendatang. Yuran pengajian tinggi di luar negara pula meningkat dengan kadar lapan peratus setahun. Jika kadar inflasi enam peratus maka anda terpaksa menyimpan wang di tempat yang boleh memberikan pulangan lebih daripada enam peratus setahun. Itu pun tidaklah berapa elok. Sebaiknya anda mempunyai lebihan mengatasi kadar inflasi. Saham amanah di Malaysia menunjukkan purata pulangan 12 - 15 peratus dengan pemberian dividen atau bonus. Jika dana anda itu jenis agresif, anda boleh mendapat keuntungan lebih daripada 15 peratus dengan kenaikan harga saham.

 

Tiada pelaburan yang tidak berisiko. Jika takut risiko dan menyimpan wang anda di rumah selama setahun, maka susutlah nilai wang anda dimakan inflasi. Jika anda mahukan risiko rendah, maka pulangannya juga rendah. Jika pulangannya teramat tinggi, maka lebih tinggilah lagi risikonya. Seelok-eloknya, biarlah yang sederhana risikonya tapi memadai pulangannya seperti saham amanah. Amalkan tabiat menabung dan melabur sejak muda kerana risikonya dapat dikurangkan pada jangka panjang.

 

Perancangan yang teliti menjamin kehidupan dan hari persaraan anda. Pada keluaran lain, kita akan bincang bagaimana kerajaan memandang serius kepentingan pelaburan dan membenarkan wang KWSP dikeluarkan daripada Akaun Satu untuk dilaburkan dalam saham amanah.Sebelum membuat keputusan melabur dalam sesuatu saham amanah, anda dinasihatkan membaca kandungan prospektus, meneliti dan memahami sesuatu dana itu dan prestasi syarikat pengurusan.
Jelita Oktober 2000 Ms 104


Tiada ulasan:

Catat Ulasan